Petua Khusyuk Dalam Solat Yang Diidam Setiap Umat Islam

0
29

Adakah kita khusyuk dalam solat? Tanyakan pada diri kita, bagaimana fikiran, perasaan dan rasa hati semasa mengerjakan solat. Adakah fokus kita tertumpu sepenuhnya kepada Allah? Atau hati masih liar, fikiran masih merawang dan perasaan masih kacau semasa mendirikan solat?

Bagaimana pula soal penghayatannya? Adakah kita dapat merasai apa yang telah kita fahami itu? Semasa mengucapkan bacaan-bacaan dalam solat itu adakah kita lakukan dengan sedar? Atau hanya sekadar ucapan biasa yang tidak membawa apa-apa makna dan rasa?

Berikut adalah petua untuk mencapai khusyuk dalam solat.

Petua Sebelum Mendirikan Solat

Menjaga makanan, minuman dan pemakaian

Khusyuk itu berkaitan dengan kerja hati. Oleh itu, hati perlu dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda-benda yang haram atau tidak halal. Oleh itu, pastikan apa yang kita makan, minum, pakai, tempat tinggal dan lain-lain hendaklah datang dari punca dan sumber yang halal tanpa syubhah.

Membersihkan diri dan bersugi

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RadhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak solat.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Wudhuk yang sempurna

Mengambil wudhuk dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat. Sebab kesempurnaan solat juga terletak kepada kesempurnaan wudhuk. Di samping itu sebahagian kelebihan wudhuk itu dapat menjauhkan seseorang daripada gangguan syaitan.

Memakai pakaian yang bersih dan kemas

Jangan memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai sarung kaki yang sempit, mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya. Ditegah bersolat dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.

Jangan solat dalam keadaan lapar

Sebolehnya selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan diri termasuk makan dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya tidak timbul kebimbangan dan ketidakselesaan ketika menunaikan solat.

Baca ni:  Petua Membersihkan Oven

Jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil

Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam:

“…dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.”

(Hadis riwayat Muslim)

Pilih tempat solat yang menenangkan

Pilih tempat solat yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya. Termasuklah dengan memastikan telefon bimbit dimatikan sebelum solat. Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan bahawa makruh menunaikan solat di tempat orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh mengganggu kekhusyukan solat seseorang.

Gunakan Sejadah Tidak Mengganggu

Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran. Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.

Solat Di Awal Waktu

Mendirikan solat di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.

Petua Ketika Hendak Menunaikan Solat

Laungkan Azan dan iqamah

Kumandangkan Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan solat bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

Lakukan Solat Secara Berjemaah

Berusahalah melakukan solat secara berjemaah kerana iaadalah suatu tuntutan dan syi‘ar agama Islam. Selain pahala solat berjemaah itu melebihi solat seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat, ada ulama mengatakan, pada kebiasaannya orang yang solat berjemaah itu akan memperolehi kekhusyukan ketika bersolat dan terselamat daripada perkara yang lagha dan boleh melalaikannya.

Menghadirkan Hati

Maksudnya ialah sebelum mendirikan solat kosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu ataupun yang tidak ada sangkut-paut dengan ibadat solat yang dikerjakan.

Mengingatkan Mati

Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat ingatkan diri bahawa kematian seolah-olah amat hampir dengan kita dan solat tersebut kemungkinan merupakan solat yang terakhir sekali dalam hidup kita dan perlulah dijadikan yang terbaik.

Baca ni:  Petua Untuk Menghapuskan Habuk Di Seluruh Kediaman

Membaca Zikir

Sebelum mengangkat takbir elok membaca mana-mana zikir yang boleh menjauhkan diri daripada syaitan.

Berusaha Melawan Gangguan Syaitan

Antara tipu daya syaitan ialah memesongkan atau memalingkan perhatian semasa solat. Caranya ialah dengan memalingkan hati kita dari meneliti dan memahami apa yang sedang kita baca. Dari situ kita akan hilang renungan untuk hari akhirat dan keikhlasan ibadat yang dilakukan. Adakalanya sehingga seorang itu boleh menjadi ragu dan was-was tentang bilangan rakaat yang telah ditunaikannya, adakah sudah cukup atau masih lagi kurang.

Petua Semasa Menunaikan Solat

Meneliti Dan Memahami Bacaan Solat

Meneliti bacaan-bacaan dalam solat, sama ada bacaan itu terdiri dari ayat-ayat al-Qur’an atau selain dari ayat-ayat al-Quran (tasbih dan takbir dan doa). Jika boleh, fahami makna bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat penting untuk menghadirkan hati dalam solat. Hati mestilah ikut mengetahui segala apa yang kita baca.

Membaca dengan baik (Khusnul Qori’ah), berusaha untuk memahami dan mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan, terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.

Merendahkan Diri

Salurkan rasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam rukuk dan sujud serta dipanjangkan tempoh masa rukuk dan sujud.

Mengagungkan Allah SWT

Meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya ketika bertakbir dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam solat. Timbulkan Rasa Malu (Haya’) iaitu perasaan malu terhadap Allah SWT dan merasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.

Menghindari Dari Memikirkan Hal Keduniaan

Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

Baca ni:  Petua Kesihatan Oleh Imam Syafie

Tumpuan Penuh Pada Solat

Segala perhatian dalam solat itu hendaklah tertumpu hanya kepada mendirikan dan menunaikannya dengan yang terbaik sekali. Rukun-rukun solat perlu dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih) sambil menyedari bahawa Allah SWT sentiasa memperhatikan solat itu.

Mengurangkan Pergerakan Anggota Badan

Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.

Sentiasa Melihat Tempat Sujud

Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta atau bersolat di dalam gelap kecuali ketika membaca perkataan إلاّ الله dalam tahiyyat. Pada ketika itu pandangan orang yang solat itu dialihkan ke jari telunjuknya.

Jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyuk dalam solat seseorang itu, maka dibolehkan dia berbuat begitu dan hukumnya tidak makruh sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi.

Lakukan Solat Dengan Thuma’ninah

‘Thuma’ninah’ (ketenangan), maksudnya anggota seseorang itu tetap diam atau berhenti seketika ketika melakukan ssesuatu ‘rukun fi‘li’ (perbuatan) di dalam solat seperti rukuk, sujud dan sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam tempoh pada kadar bacaan zikir: “سبحان الله” (SubhanAllah).

Maknanya, setiap pergerakan di dalam solat itu tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, cepat-cepat atau dengan kelam-kabut tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks.

Khusyuk Dalam Solat

Begitulah beberapa petua yang boleh dijadikan panduan untuk mendapatkan khusyuk dalam solat. Memang tidak dinafikan, terdapat setengah orang masih tidak mampu memperolehi khusyuk di dalam solatnya walaupun dengan mengamalkan bermacam-macam petua, tip atau panduan.

Yang penting tidak mudah berputus asa dan sentiasalah gerakkan diri kita berusaha untuk mendapatkannya. Jangan lupa juga untuk banyak-banyak memohon doa kepada Allah Ta‘ala supaya dikurniakan kepada kita hati yang bersih dan khusyu‘ dalam beribadat kepadaNya.

Sumber: Shafiqolbu

Save

Save

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here