Bawang Goreng Rangup

Bawang goreng rangup, bila ditambah kepada makanan pasti lebih terangkat! Rasa tak lengkaplah makanan seperti soto, bihun sup, mee jawa, nasi goreng, mee goreng jika tak diserikan dengan taburan bawang goreng.

Walaupun banyak dijual bawang goreng ‘ready made’, ternyata yang dibuat sendiri lebih sedap. Namun, tak semua percubaan membuat sendiri bawang goreng rangup di rumah menjadi. Bagi yang tak biasa buat, mungkin ada yang terlembek, pahit, dan cepat lemau.

Di sini dikongsikan petua dan cara yang betul membuat bawang goreng rangup.

Petua Buat Bawang Goreng Rangup Yang Sedap Dan Tahan Lama

Pilih Bawang Segar

Bawang Goreng Rangup

Seeloknya guna bawang yang bersaiz sederhana untuk mendapatkan hasil bawang goreng terbaik.

Selain itu, ia bergantung juga kepada kesegaran dan kualiti bawang yang dipilih supaya bawang goreng yang dibuat betul-betul sedap dan crispy.

Cara Mengupas Dan Menghiris Bawang

Pastikan semasa mengupas bawang, elakkan dari terkena air. Bawang yang basah membuatkan bawang goreng menjadi lembab dan susah untuk garing.

Baca ni:  Petua Mengekalkan Kesegaran Bahan Mentah Dapur

Pastikan anda sediakan tisu dapur. Selepas kulit bawang dikupas, basuh sebentar dan biarkan kering, atau lapkan dengan tisu dapur agar kering. Bila dah kering, barulah bawang dihiris halus.

Letakkan tisu dapur di bawah hirisan bawang untuk menyerap lembapan atau jusnya yang terkeluar. Atau, tos dan anginkan bawang di dalam dulang selama beberapa jam supaya ia betul-betul kering.

Bawang Goreng Rangup

Taburkan Garam

Dengan menaburkan sedikit garam akan membuatkan bawang goreng mengekalkan kegaringan selain menaikkan rasa bawang goreng.

Kuantiti garam agak-agak sahaja, jangan sampai terlalu banyak dan hilang keaslian rasa bawang goreng.

Bawang Goreng Rangup

Gaul Dengan Tepung

Dengan menyalutkan hirisan bawang dengan tepung dapat membuatkan bawang goreng yang lebih rangup. Boleh gunakan sama ada tepung gandum, tepung beras mahupun tepung jagung. Setiap jenis tepung mempunyai tekstur dan hasil tersendiri. Jadi terpulang kepada selera masing-masing nak guna jenis tepung yang sesuai.

Biasanya untuk 1 kg bawang, disarankan gunakan 1 senduk (5 sudu besar) atau 1 ½ senduk tepung. Perapkan lebih kurang 30 minit sebelum menggoreng bawang.

Baca ni:  Petua Goreng Ikan Tak Melekat Di Kuali, Tak Meletup Dan Rangup

Bawang Goreng Rangup

Goreng Dengan Api Sederhana

Pastikan minyak dah betul-betul panas barulah goreng bawang. Guna api sederhana atau perlahan saja agar bawang goreng betul-betul masak dengan rangup dan tidak hangus.

Bawang Goreng Rangup

Jangan Kerap Dikacau

Ketika menggoreng bawang, disarankan supaya tidak terlalu kerap mengacau. Ini akan membuatkan bawang menyerap lebih banyak minyak dan membuatkan ia menjadi cepat lemau dan tidak garing.

Apabila nampak ada yang hampir garing di tepi, baru ditukar-tukarkan tempat dengan yang masih putih. Tutup api sebaik saja bawang goreng bertukar warna keperangan.

Bawang Goreng Rangup

Simpan Dalam Bekas Kedap Udara

Setelah diangkat, toskan dan serap minyak berlebihan. Ratakan bawang goreng di atas dulang yang berlapik dengan tisu dapur. Biarkan sejuk.

Selepas dah betul-betul sejuk, barulah dimasukkan ke dalam bekas kedap udara.

Bawang Goreng Rangup

Cubalah Ikut Petua Bawang Goreng Rangup

Sekiranya petua ini nampak agak renyah, tunggu saja bila dapat hasilnya. Pasti berbaloi. Kesedapan bawang goreng homemade tentunya lebih enak, puas dimakan, jimat, dan terjamin mutunya. Bila dah boleh buat sendiri, tak perlulah beli lagi lepas ini. Malah, prosesnya juga pasti akan terasa lebih mudah bila anda dah selalu buat.

Baca ni:  Petua Bakar Kek Atau Biskut Tanpa Oven

Sila SHARE petua membuat bawang goreng lebuh rangup dan tahan lebih lama ini sekiranya bermanfaat!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here