Petua Melembutkan Daging

Melembutkan daging dan cepat empuk akan membuatkan kerja memasak hidangan menjadi lebih mudah dan singkat.

Tiada siapa yang suka makan daging yang liat. Memang boleh terkehel mengunyah daging liat. Gigi pun boleh rasa nak tercabut! Apa taknya, terpaksa kunyah lama untuk daging menjadi halur sebelum ditelan. Naya kalau tertelan ketulan daging yang besar. Selera makanpun boleh hilang.

Jangan risau! Dikongsikan beberapa petua turun temurun, serta teknik mudah untuk melembutkan daging agar lebih cepat empuk.

Petua Orang Lama Untuk Melembutkan Daging

Gunakan Sudu

Semasa merebus atau memasak daging, masukkan sebatang sudu kecil ke dalam periuk. Dipercayai sudu ini menyerap lebih haba / kepanasan yang membantu proses melembutkan daging.

Daun Nangka

Sediakan beberapa helai daun nangka dan bersihkannya dahulu. Kemudian, masukkan saja daun nangka tadi ke dalam periuk bersama dengan daging yang ingin direbus.

Daun Pisang Abu

Ambil daun pisang abu dan lapkannya dulu sampai bersih. Kemudian, carik-carikkan daun pisang abu tadi. Lepas tu, masukkan saja ke dalam kuali atau periuk bersama-sama dengan daging yang ingin dimasak.

Tangkai Dan Daun Betik

Masukkan beberapa tangkai daun betik ke dalam masakan untuk melembutkan daging. Jika tiada tangkainya, anda juga boleh menggantikannya dengan betik muda. Pastikan anda kupas kulitnya, buang biji serta bersihkannya terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam mana-mana masakan berasaskan daging.

Baca ni:  Petua Membersihkan Microwave

Khas untuk anda yang nak buat sate daging pula, hiris dan lumurkan daging tersebut dengan bahan-bahan perencahnya. Selepas itu bungkus daging dengan daun betik. Biarkannya selama 1 jam. Setelah itu, barulah bakar sate daging tadi dan hasilnya daging itu lebih wangi dan empuk.

Batang Tebu

Buangkan dulu kulit tebu dan bersihkannya. Kemudian, potongkan tebu tadi secara memanjang seruas-seruas.

Kalau daging tu nak dibuat rendang, masukkan saja isi tebu tadi bersama-sama dengan bahan-bahan lain untuk penyediaan rendang. Kemudian, masaklah sehingga rendang daging tu empuk.

Kalau nak buat sup daging pula, rebus isi tebu tadi bersama-sama dengan bahan-bahan lain untuk mereneh sup. Isi tebu tersebut berfungsi untuk melembutkan daging dan menambahkan kelazatan sup.

Tempe

Kepingan tempe juga selalu digunakan untuk melembutkan gulai daging. Hanya masukkannya ke dalam masakan dan biarkan.

Buah Pinang Tua

Anda perlukan setengah atau sebiji pinang tua. Kupaskan dan bersihkan pinang tua tadi.
Setelah itu, masukkannya ke dalam periuk untuk dimasak sekali dengan daging.

Batang Ubi Kayu

Anda juga boleh cuba menggunakan keratan batang ubi kayu. Pastikan batang ubi kayu itu dibersihkan terlebih dahulu. Masukkan ke dalam periuk hanya ketika ia sedang mendidih sahaja. Biarkan selama 10 – 15 minit, lalu angkat serta asingkan batang ubi kayu tersebut.

Baca ni:  Petua Membersihkan Oven

Buah Keras

Tumbuk lumat buah keras, lalu masukkan ke dalam ramuan gulai daging. Daging akan lebih cepat empuk.

Santan

Rebus daging bersama-sama pati santan kelapa hingga mendidih. Untuk sekilo daging, gunakan sebiji kelapa. Selain mengempuk, daging juga lebih terasa lemak dan enak kerana telah diserap santan di dalamnya.

Cara Memotong Daging

Petua Melembutkan Daging

Cara daging dipotong juga sedikit sebanyak mempengaruhi masa yang diperlukan untuk membuatkan daging lembut dan empuk.

Sebelum daging dipotong seharusnya terlebih dahulu dibuangkan lemak atau serat, selaput keras yang menempel pada daging tersebut.

Cara memotong daging yang tepat adalah dengan memotong arah menegak atas serat urat daging. Daging harus dipotong melintang urat, jangan ikut urat daging supaya daging nanti tidak liat dan susah untuk empuk. Caranya ialah dengan melihat jalur-jalur urat daging, kemudian letakkan arah urat-urat daging bertentangan dengan pisau dan potong.

Pada beberapa bahagian daging yang mempunyai lebih dari satu otot daging, misalnya mempunyai 5 otot daging, maka setiap otot harus dibuangkan dulu mengikuti selaput pembahagian setiap otot, baru kemudian daging tersebut dipotong.

Teknik Mudah Untuk Melembutkan Daging

Perlu ada teknik yang betul dan cara memasak daging juga perlu diambil perhatian kerana jika terlebih masak, daging jadi kering dan liat.

Baca ni:  Petua Mengekalkan Kesegaran Bahan Mentah Dapur

Ketuk Daging

Petua Melembutkan Daging

Gunakan mallet, meat tenderizer atau pengetuk daging untuk mengetuk bahagian lembut daging perlahan-lahan dan ketuk dengan kuat di bahagian yang keras.

Tujuan mengetuk daging ini adalah untuk melembutkan otot-otot fiber daging yang keras. Dengan itu, daging akan mudah lembut apabila dimasak.

Perap Daging

Petua Melembutkan Daging

Untuk melembutkan daging, buat perapan antara 2 hingga 24 jam mengguna sumber makanan yang boleh melembutkan tisu otot dan bahagian yang keras secara semula jadi. Asid yang terhasil sewaktu perapan akan membantu melembutkan fiber otot. Perapan juga membantu menambah kelembapan dalam daging, menjadikannya lebih enak dimakan.

Antara perapan yang boleh digunakan adalah:

  • Jus lemon dan limau nipis
  • Makanan berasid seperti cuka dan yogurt
  • Makanan kaya enzim seperti halia, nenas dan buah kiwi

Tips: Boleh gunakan satu sumber perapan sahaja atau digabungkan bersama.

Pelbagaikan Masakan Berasaskan Daging

Kalau dah tahu teknik melembutkan daging, bolehlah anda selalu memasak hidangan berasaskan daging.

Macam-macam masakan boleh buat seperti kari, sup, rendang, atau goreng kunyit.

Anda juga tak perlu takut nak buat masakan barat seperti ‘steak’ atau sate yang menggunakan daging sebagai bahan utama!

Meskipun sedap dimakan, kurangkan pengambilan daging dalam diet seharian untuk mengelakkan daripada pelbagai masalah kesihatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here