Tidak dapat dinafikan betapa pentingnya untuk mengekalkan kesegaran barangan dapur yang dibeli supaya makanan yang dimasak akan mengekalkan zat dan vitaminnya.

Apabila membeli barang dapur terutamanya barang mentah, ada ketikanya bahan basah dan sayuran sukar kekal segar. Cara penstoran barangan mentah dapur ini amat penting untuk mengekalkan kesegaran.

Berikut merupakan beberapa petua orang-orang lama menyimpan barangan dapur agak kesegarannya terjamin.

Petua Mengekalkan Kesegaran Ikan

Susunkan ikan dalam bekas dan isikan air dalam bekas hingga menutupi ikan. Simpan bekas dalam chiller peti sejuk, bukan di peti beku. Ikan akan kekal segar walaupun selepas beberapa hari.

Boleh juga jika di simpan dalam peti beku, tetapi pastikan ikan disusun setiap seekor berasingan, atau beberapa ekor ikan untuk sekali masak dalam satu plastik/bekas yang sama. Isi plastik/bekas dengan air hingga menutupi ikan.

Petua Mengekalkan Rasa Manis Ikan

Buangkan isi perut ikan tetapi jangan dibasuh. Bungkus dengan surat khabar kemudian simpan dalam peti sejuk. Basuh ikan hingga bersih hanya apabila tiba masa untuk dimasak. Cara ini juga dapat juga mengekalkan kesegaran ikan.

Baca ni:  Petua Merancang Ruang Idaman Kediaman

Petua Menyimpan Udang

Cuci udang hingga bersih dan sejatkan airnya sehingga kering. Gaulkan sedikit gula dan simpankan di dalam bekas yang tertutup rapat.

Petua Mengelakkan Sayur Cepat Layu

Bungkus sayur-sayuran dengan surat khabar yang telah dilembabkan. Hasilnya sayur tidak akan cepat layu.

Petua Mengekalkan Kerapuhan Ulam-Ulaman

Rendamkan ulam-ulaman dalam air bercampur dengan sedikit cuka dan perahan limau nipis. Biarkan seketika dan toskan. Ulam-ulaman akan kekal rangup dan segar walaupun selepas beberapa ketika.

Petua Memanjangkan Jangka Hayat Bawang Kisar atau Lada Kisar

Kisar lada atau bawang dengan minyak dan bukan dengan air. Bagi lada kering, pastikan bijinya dibuang terlebih dahulu. Simpan di peti sejuk dalam bekas kedap udara.

Petua Agar Kelapa Parut Tidak Cepat Masam

Gaulkan kelapa parut bersama sedikit garam. Kemudian kukus kelapa tersebut. Ini dapat mengelakkan kelapa parut daripada cepat masam.

Petua Supaya Santan Tahan Lebih Lama

Masukkan garam kasar dalam santan dan kacau rata. Kemudian simpan dalam peti sejuk seperti biasa. Boleh juga simpan santan dalam plastik bersih dan berikat dalam peti beku tanpa garam.

Baca ni:  Petua Goreng Ikan Tak Melekat Di Kuali, Tak Meletup Dan Rangup

Petua Menyimpan Telur Agar Tahan Lama

Bersihkan telur dengan air dan lap sehingga kering. Simpannya dalam bekas berisi beras pulut. Elakkan telur daripada terjemur. Jika ingin simpan dalam peti sejuk, letakkan telur dalam bekas berisi air. Telur akan tahan lebih lama dan tidak cepat busuk.

Petua Hindari Bubuk Dan Kutu beras

Masukkan sama ada bawang putih yang tidak dikopek, daun limau, daun nangka ATAU 6 tangkai lada kering bersama beras dalam tempat simpanan.

Apa Petua Anda?

Sebenarnya, banyak lagi petua lain untuk menyimpan makanan agar tahan kesegaran lebih lama. Jika anda juga punyai petua, kongsikannya di ruangan komen di bawah 🙂

SHARE artikel ini untuk manfaat bersama!

Save

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here