Salah satu kesilapan besar yang sering dilakukan kebanyakan pemilik rumah adalah membeli perabot sebelum melakukan satu tugas penting ini: UKUR!
Seringkali terjadi, beli sofa L-shape, sampai di rumah tak muat masuk pintu. Katil pula tak boleh dibawa ke tingkat atas. Meja makan pula tak muat masuk lif.
Sepatutnya kita mulakan proses pembelian perabot dengan merancang dengan teliti. Walaupun kita berfikir perabot itu sesuai dan muat, seringkali keputusan kita salah dengan membeli perabot yang terlalu besar atau terlalu kecil. Apabila kita mempunyai ukuran yang tepat, kita akan lebih fokus dalam pencarian dan kurang cenderung dari melakukan kesilapan.
Petua Untuk Mengelak Membeli Perabot Yang Salah
Ukur Keluasan Ruang Bilik
Dengan mengukur saiz bilik, kita dapat membuat jangkaan kesesuaian saiz perabot yang bakal dibeli supaya tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil.
Ukur Saiz Pintu
Dinasihatkan agar mengukur saiz pintu masuk utama dan pintu bilik dimana perabot itu akan berada. Ini bagi mengelak dari perabot terlalu besar dan tak muat untuk dibawa masuk.
Ukur Saiz Lorong Hallway
Ada sesetengah rumah mempunyai lorang atau hallway untuk kebilik-bilik di sebelah belakang. Biasanya lorong ini agak sempit. Disarankan anda mengukur saiz keluasan lorong ini takut-takut perabot yang dibeli tak muat untuk dibawa ke bilik yang dikehendaki.
Ukur Bukaan Ruang Tangga
Kepada pemilik rumah teres dan bertingkat, dinasihatkan agar mengukur keluasan bukaan tangga supaya perabot bersaiz besar boleh melepasi tangga dan senang dibawa naik. Ambil kira juga selekoh tangga.
Ukur Keluasan Pintu Lif dan Saiz Lif
Ada pangsapuri yang lifnya rendah dan kecil. Kadang-kadang perabot yang dibeli tak muat untuk dibawa masuk ke dalam lif. Oleh yang demikian amat penting untuk mengukur saiz lif.
Petua Sekiranya Perabot Tak Muat Dibawa Masuk
Cuba Sudut dan Angle yang Berbeza
Sebelum membuat keputusan untuk menanggal dan membongkar perabot ke bahagian-bahagian lebih kecil, adalah dinasihatkan untuk mencuba melepaskan perabot itu dari sudut-sudut yang berbeza terlebih dahulu.
Tanggalkan Separuh Dari Bahagian Perabot
Sekiranya kaedah pertama gagal, anda boleh menaggalkan separuh dari bahagian perabot (jika boleh). Kebanyakan bahagian perabot seperti kaki boleh ditanggalkan dengan hanya memutar skru dan mencabutnya.
Tanggalkan Pintu
Ada kalanya perabot yang dibeli terlebih besar dan memerlukan sedikit sahaja lagi ruang untuk melepasi pintu. Apa yang boleh dibuat adalah menanggalkan pintu. Untuk ruang yang lebih lagi, anda juga boleh menanggalkan bingkai frame pintu. Selepas berjaya memasukkan perabot bolehlah bingkai dan daun pintu itu dipasang kembali.
Cari Poin Masuk Yang Lain
Kemungkinan ini adalah pilihan yang terakhir. Bagi rumah teres bertingkat yang mempunyai balkoni, boleh di’angkat’ dan dimasukkan melalui balkoni dengan menggunakan kren. Anda boleh merujuk kepada syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan memindah barangan.
Petua Terakhir
Sekiranya kesemua petua di atas tidak membuahkan hasil anda boleh cuba berbincang dengan kedai perabot, untuk mengembalikan atau menukar kepada perabot yang lain. Sekiranya ini juga tidak berhasil, sila sedekahkan kepada rumah kebajikan dan rumah anak yatim, dapat juga pahala 🙂
Jika anda pernah mengalami situasi ini, sila kongsikan pengalaman yang anda lakukan. Bagitahu semua orang supaya kejadian yang tidak diingini ini dapat dielakkan untuk kebaikan bersama dengan meninggalkan komen di bawah. Terima kasih!
[…] Jangan lupa juga untuk mengukur keluasan pintu untuk mengelakkan kejadian perabot tidak muat melepasi pintu. […]